Saturday, April 21, 2012

Remaja! Jom Muhasabah


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW
 yang dirindui.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu

Remaja! Jom Muhasabah... Eh, masih dikira remaja kah aku ni? 
xapa la, yang penting benda baik.. Muhasabah diri. Yes, benda itulah yg hendak saya share dengan anda.. Artikel ni saya putik dari laman islamik.


Firman Allah S.W.T:

[1]Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman,
[2]Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
[3]Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
[4]Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
[5]Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
[6]Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
[7]Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
[8]Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
[9]Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya

(Surah Al-Mu’minun 23: 1-9)



Remaja. Ya, anda. Jom! Mari kita sama-sama bermuhasabah. Melalui garis panduan yang telah Allah tunjukkan kepada kita dalam 9 ayat daripada Surah Al-Mu’minun ini, dapatlah kita sama-sama melihat. Muhasabah kembali. Apakah kita layak menjadi orang yang berjaya dalam erti kata yang sebenarnya?
Di ayat yang pertama lagi. ”Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman,” kita telah mampu membuat gambaran melalui first impression, dan menambah keyakinan dalam hati kita bahawa agama Islam merupakan agama yang sempurna. Tiada yang perlu diragui lagi. Tak dapat disangkal lagi. Yakinlah wahai remaja sekalian! Islam bukanlah agama yang mengongkong kita. Islam juga bukanlah agama yang ekstrim. Malah, Islam adalah cara hidup. Mari kita perhatikan Firman Allah S.W.T yang berikut:


”Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan menyeluruh”
(Al-Baqarah 2: 208)


Ramai dalam kalangan kita yang solat. Mungkin pernah terlintas dalam fikiran kita ”Aku menunaikan solat, tapi mengapa aku masih sukar atau sering melakukan ma’siat, sedangkan Allah pernah berfirman:



“ Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”
(al-Ankabut: 45)



Sahabat sekalian, mari mencari jawapannya. Saya percaya anda sendiri sudah sedar bukan? Perhatikan kembali ayat kedua dalam Surah Al-Mu’minun tadi. “ Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;” Khusyuk kah kita dalam solat? Cuma kita sendiri yang dapat menilainya.
Oleh itu sahabat, disinilah pentingnya ilmu. Memperbaiki cara solat kita. Janganlah biarkan pemikiran kuno mempengaruhi kita. Pemikiran seperti ”Tiada ustaz yang nak ajar kami, jadi kami tak tahu. Tak apa, sesungguhnya Allah Maha Mengasihani, Allah tidak menyeksa hambanya yang tak tahu. Allah itu tidak zalim. Tak Mengapa.”

Benar, Allah tidak zalim. Tapi sahabat, bersyukurlah kita kerana kita dilahirkan di zaman ini. Menuntut ilmu tidaklah sesukar para ulama dahulu. Walaupun dalam ketika kerosakan ummah sedang berlaku, ianya tidak menjadi penghalang kepada kita untuk menuntut dan mencari ilmu agama bagi memantapkan akidah dan ibadah kita. Juga, ketahuilah bahawa menyempurnakan solat kita juga merupakan satu tuntutan. Inisiatif perlu diambil bagi mencari ustaz atau guru untuk mengajar kita dalam hal ini. Ingatlah, ilmu itu tidak datang dengan sendirinya. Tiada kejayaan yang datang dengan sendiri. Allah S.W.T berfirman:



”Dan bahawasanya manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya, Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan(kepadanya)” (An-Najm 53: 39-40)



Marilah kita bersama-sama memperbaiki diri kita melalui kaedah bermuhasabah ini. Sedarkah kita, bahawa kitalah generasi yang akan menerajui perjuangan Islam dan pelapis pemimpin negara setelah perginya pemimpin-pemimpin yang dihormati sekarang. Sahabat, mungkin kita semua perlu menjadi pakar dalam bidang masing-masing seperti Pakar Teknologi, Pakar Math, Pakar Biologi, Pakar Fizik, Pakar Kimia dan lain-lain. Kita harus bergabung bagi membentuk sebuah empayar Islam yang baru! Generasi dahulu telah membuktikannya! Takkan kita hanya hanyut dan lena dibuai kisah cinta sahaja?
Mari kita soroti kembali kisah kejayaan seorang tokoh ilmuwan Islam yang tak asing lagi bagi kita. Beliau adalah Ibnu Sina. Ibnu Sina atau dikenali sebagai Avicenna di Negara Barat telah mengkhatamkan hafazan Al Quran pada usia yang sangat muda dan telah dapat menjaganya dengan baik pada usia 10 tahun. 
Kegigihan beliau dalam menuntut ilmu dapat dibuktikan lagi dengan terhasilnya karya yang sangat terkenal dan menjadi sumber rujukan selama berabad-abad iaitu Qanun fi Thib (Canon of Medicine). Ibnu Sina telah dilantik menjadi Doktor Di Raja pada umur 18 tahun. Beliau mula belajar mengenai falsafah dengan membaca pelbagai tulisan seperti tulisan Greek, Muslim dan buku-buku lain mengenai subjek ini serta mempelajari logik dan subjek lain daripada Abu Abdallah Natili iaitu seorang ahli falsafah terkenal pada waktu itu. Pernah suatu ketika beliau telah membaca buku “Metafizik Aristotle” sebanyak 40 kali hanya semata-mata untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi.

Seperti ilmuwan lain Ibnu Nafis, Ibnu Sina, Al-Batani, Newton, Einstein, Kepler, Plato, Aristotle dan ramai lagi ahli ilmu, ahli falsafah dan ahli fikir memulakan aktiviti saintifiknya dengan berfikir. Genius ini ialah memiliki kekuatan berfikir yang luar biasa. Bila melihat langit, bintang-bintang, system cakerawala, hujan yang turun, petir dan kilat yang sambar menyambar, sakit dan kematian, ia mendorong mereka berfikir. Hasil daripada pemikiranlah yang melahirkan tanggapan dan kesimpulan terhadap sesuatu. Daripadanya, suburlah ilmu dan kehidupan akan menjadi lebih bermakna.

Mari kita sama-sama menghayati Firman Allah S.W.T:


“dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk memperhambakan diri kepadaKu”
(Az-Zariyat 51:56)



Hakikatnya, setiap apa yang kita lakukan adalah untuk Allah. Setiap kejayaan yang diraih. Setiap kegagalan yang menduga. Setiap nikmat yang dikurniakan. Setiap musibah yang melanda. Semuanya telah Allah tetapkan. Semua itu adalah dalam pengetahuanNya. Redha dengan ketentuanNya merupakan satu kekuatan yang amat besar. Satu kisah yang diceritakan, bahawa si fulan bertanya kepada seorang kanak-kanak yang kematian ayah kandungnya di Afghanistan akibat ditembak oleh musuh Allah, “Kamu tak sedihkah? Sedangkan ayah kamu mati ditembak oleh musuhNya?” Kanak-kanak itu menjawab tanpa ada riak sedih pada wajahnya “Tak. Ayah aku tak mati. Dia cuma pergi berjumpa Allah di alam lain”. Subhanallah. Sebegitu kuat keyakinannya terhadap agama ini. Walaupun pada kebiasaannya, seorang kanak-kanak seusia 8 tahun itu akan menangis meratapi pemergian ayahnya. Tetapi tidak pada kenak-kanak ini. Allah S.W.T berfirman:


“Dan janganlah kamu mengatakan orang-orang yang terbunuh di jalan Allah (mereka) telah mati. Sebenarnya mereka hidup tapi kamu tidak menyedarinya” (Al-Baqarah 2 : 154)



Akhir kalam, saudara sekalian. Marilah kita sama-sama memanjatkan syukur kepadaNya kerana masih dikurniakan nikmat paling besar dalam kehidupan insan. Tanpanya, kehidupan insan itu tak lagi bernilai. Itulah nikmat iman. Marilah kita mengukuhkan iman dengan ketaatan kepadaNya.
Semoga apa yang kita perolehi, dapat sama-sama kita amal dan sampaikan. InyaAllah.


~KONGSI KEINDAHAN ISLAM~



Friday, April 20, 2012

Malaikat Maut mengintai kita 70x sehari

   
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum Warahmatulli Wabarakatuh...

Memang tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka. Allah berfirman yang bermaksud:
“Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.
Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.

Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: ‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.’”
Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin. Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).
Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.
“Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia.” (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)
Kematian ‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai aripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha. Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.
Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”
Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya. Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.
“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. “Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”
Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun. Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.

Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Allah menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut. Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa. Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh. Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s.

Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka. Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah. Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu.

Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul. Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya. Tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.

Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar. Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian. Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan. Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian. Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.
~KONGSI KEINDAHAN ISLAM~

Kita Bertemu Selepas 40 Tahun Dimatikan



Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Jumaat yang penuh berkat.

Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha P erkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering.
Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan.
Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:


  • Pemimpin yang adil.
  • Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
  • Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
  • Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
  • Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
  • Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
  • Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. P ertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT.

Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
‘Arasy’ ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang. Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
  • Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
  • Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
  • Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. P ustaka Nasional Singapura 2004.

Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat-sahabat yang lain.
Sepertimana sabda Rasulullah SAW: Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
  • Sedekah/amal jariahnya.
  • Doa anak-anaknya yang soleh.
  • Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
~KONGSI KEINDAHAN ISLAM~


Tuesday, April 17, 2012

Air Mata

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...
Entri saya hari ini berkenaan air mata.
Mau share dengan anda semua.. ya, rasanya ada yang sedia maklum kn...tak pa kita share lagi a...
*     
    Air mata yang tidak di tuntut
  • Janganlah menangis kalau tak tercapai cita-cita bukan kah Tuhan yang telah menentukannya.
  • Janganlah menangis nonton filem hindustan itu kan cuma lakonan.
  • Janganlah menangis kerana cinta tak berbalas mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan.
  • Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan.
  • Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah buat amalan.
  • Janganlah menangis kalau tidak di naikkan pangkat yakin lah, rezki itu adalah pemberian Tuhan.
*      
      Simpanlah air mata-air mata tangisan itu buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik2 hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah swt. Seru lah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa2 dan moga-moga akan mendapat ampunanNya jua

Tuesday, April 10, 2012

Putus Cinta by Pahrol Mohamad Juoi



Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Terasa lama tidak mengentri sesuatu dalam blog...
Masa cuti dihabiskan di kampung. Bersama family (Terima Kasih Ya Ilahi kerana kurniakan ku keluarga yang penyayang dan memahami) hehehe... 
Dan seperti biasa jika ada masa terluang saya isikan dengan membaca artikel-artikel yang terdapat dalam internet,buku,dll. 
Yes, entri ini lah yang saya mau share dengan anda semua, rasanya kena sangat dengan senario kita dewasa ini.. Artikel yang saya terbaca ni....
Putus cinta.  Nda bestnya bila dengar kan, apa lagi yg merasakannya
Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. 
Benarlah kata pujangga,"sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas." 
Aneh sekali derita sakit putus cinta ini...
benci, tapi rindu. 
Dendam tapi sayang. 
Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.
Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  
Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. 
Terlupakah pesan bijak pandai:
"Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, 
bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika."
Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah
Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. 
Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).
Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. 
Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. 
Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. 
Tetapi percayalah... kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. 
Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. 
Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. 
Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. 
Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.

Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah,  " Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui."

Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. 
Segala kata pengukuhan telah diberikan.
Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer). 
Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah.
Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, "mengapa aku terpaksa menanggung derita ini."Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, terkacak, ter... ter... segala-galanya. 
Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. 
Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, "ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?"
Jangan katakan kenapa aku yang kena? 
Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. 
Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya 'terpaksa' bercinta dengan Allah. 
Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. 
Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. 
Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. 
Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.
Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – 
maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. 
Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.
Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan.
Mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya
Cubalah fikirkan... siapa yang paling mencintai kita? 
Siapakah yang kita sia-siakan selama ini?
Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir... 
Barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, 
"Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!" 
Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. 
Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. 
Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. 
Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!
Betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama 'orang' yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. 

"Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu." "Allah ganti yang lebih baik." 
"Tak sangka, kami akan serasi begini." Begitulah suara-suara 'testimonial' daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).
Ya, pada waktu 'terkena' dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. 
Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!
Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. 
Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. 
Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai 'mata rantai' yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.
Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. 
Kita perlu faham 'pelajaran' yang dibawa bersamanya. 
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. 
Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. 
Kemungkinan besar kita akan 'frust' berkali-kali.
Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. 
Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. 
(I'm not a girl but not yet a women)  
Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.
Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. 
Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi.  
Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. 
Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap. 
Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya frust dalam bercinta.
Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada 'pelajaran' yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. 
Remaja mesti dapat membaca 'mesej' yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.
Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, "apakah pelajaran yang disebalik semua itu." 
Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. 
Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah 'mehnah' – maksudnya didikan terus dari Allah.
Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah 'guru' yang hendak mengajar kita erti sabar. 
Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap. 
Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.
Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. 
Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? 
Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. 
Perubahan tidak dapat dielakkan justeru  hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan.
Yang tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. 
Kita tidak dapat mengawal hati 'kekasih hati' agar dia sentiasa setia.
Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. 
Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita.
Even kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.
Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. 
Dia seolah-olah ingin jadi 'Tuhan". Dia ingin semua keinginannya tercapai. 
Mustahil, manusia hakikatnya lemah. 
Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. 
Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. 
Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi... 
Maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan... 
Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula. 
Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.

Wallaualam....
Yang baik kita jadikan pengajaran, yang tidak baik kita jadikan sebagai sempadan